Selasa, Ogos 31, 2010

Teori Kemoralan Sosial

Teori ini mengaitkan bahawa manusia hidup berkelompok, maka soal kemoralan sosial menjadi teras dalam kehidupan. Moral sekular menekankan perlunya kemoralan sosial untuk menjamin manusia terus hidup dalam keadaan harmoni dan selamat.

Manusia terpaksa hidup bermasyarakat untuk memenuhi keperluan, kehendak dan keinginannya bagi menjamin kelangsungan hidup (survival). Kemoralan sosial berkait rapat dengan peraturan masyarakat yang terdiri daripada tatahukum, tatasusila atau tatatertib masyarakat.

Peraturan masyarakat biasanya menyerupai tradisi, norma, kebiasaan atau adat, kod, nilai dan pantang larang. Kesemua ini menjaga kerukunan sosial. Setiap kaum di negara ini mempunyai adat resam dan pantang larang bagi menjamin keutuhan dan keharmonian sesebuah masyarakat. Ahli-ahli sosiologi moral berpendapat , adalah menjadi tanggungjawab setiap individu untuk mematuhi pemerintah sebagai autoriti moral.

Berdasarkan maklumat di atas , teori kemoralan sosial melihat moral itu adalah sesuatu yang adalah berdasarkan apa yang telah dihukumkan oleh masyarakat. Oleh itu, kemoralan atau etika merupakan sesuatu yang berkaitan dengan peraturan masyarakat.

Teori ini juga sering dikaitkan dengan pantang-larang dan adat sesuatu masyarkat. Hakikatnya, teori ini juga wujud di dalam ajaran Islam yang melihat moral melalui kacamata masyarkat dan kehidupannya selagi mana ia tidak bertentangan dengan kehendak shara’.

Maksudnya, moral atau undang-undang warisan sesebuah masyarakat secara automatik akan tertolak jika bertentangan dengan Shari’ah. Dengan kata lain, Shari’ah berperanan untuk memberi had kepada masyarakat supaya sebarang kod etika atau kepercayaan yang wujud tidak dogmatik dan undang-undang yang digubal tidak menindas pihak yang lain. Dalam perbincangan ilmu usul fiqh juga, adat (’urf) dan pandangan setempat merupakan salah satu sumber hukum yang diiktiraf oleh shara’.

Oleh sebab itu, seseorang Muslim tidak harus berkelakuan janggal dan berlainan dengan norma masyarakat setempat. Walaubagaimanapun, sebarang tindak tanduk masih lagi dibatasi oleh norma dan etika mutlak yang terkandung di dalam al- Quran dan Hadis

Tiada ulasan:

Catat Ulasan