Isnin, September 20, 2010

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN-FAKTOR PENYUMBANG

 Faktor-faktor penyumbang kepada pembentukan Falsafah Pendidikan   
  Kebangsaan (FPK)
Faktor pembentukan FPK terdiri daripada enam faktor; iaitu agama, sosial, politik, ekonomi, individu dan sejagat. Terminologi syumul berkenaan keenam-enam faktor tersebut dipaparkan jalinannya seperti berikut;
Faktor agama
            Pertama ialah faktor agama yang dianuti oleh para manusia di Malaysia. Agama Islam diklasifikasi sebagai agama rasmi di negara ini. Deretan kepercayaan lain dianuti secara bebas berdasarkan akta dan undang-undang negara. Agama Islam menjadi rujukan kepada pertimbangan asas dalam FPK. Unsur agama tersebut dapat dihayati di dalam pernyataan “...mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan...”.
Faktor sosial
            Kedua ialah faktor sosial yang meliputi hierarki dan struktur masyarakat setempat serta kebudayaannya. Keharmonian masyarakat sekeliling bergantung kepada variasi amalan mahmudah (mulia) umpamanya toleransi, bekerjasama, hormat menghormati dan sebagainya demi penghasilan keadaaan sosial yang stabil. Tujuan ini jelas terpancar di dalam pernyataan falsafah berkenaan, iaitu “...memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”.
Faktor politik
            Ketiga, ialah faktor politik yang menentukan ideologi negara lantas mempengaruhi dasar pendidikan. Matlamat pencapaian perpaduan kaum menjadi asas pembentukan FPK yang berlandaskan Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Faktor ekonomi
            Keempat, ialah faktor ekonomi yang mempengaruhi pembangunan dan kemajuan negara. Rakyat Malaysia terlatih dalam variasi kemahiran yang dapat membantu negara memperkembang ekonomi menerusi peningkatan daya pengeluarannya. Maka, sekolah teknik dan vokasional turut diwujudkan demi penghasilan masyarakat yang beridentiti tinggi seiring pembangunan negara. Kenyataan ini dijelaskan secara luaran tetapi mendukung hasrat yang tinggi, iaitu “...memberi sumbangan terhadap kemakmuran negara”.
Faktor individu
            Kelima, ialah faktor individu yang dikaitkan dengan keperluan-keperluan individual seperti keselamatan, perkembangan potensi dan penyempurnaan kendiri. Potensi individu diperkembang menerusi pendidikan yang meliputi aspek-aspek J-E-R-I (jasmani, emosi, rohani dan intelek). Pernyataan ini jelas terpampang di dalam ayat pertama FPK
Faktor sejagat
            Keenam, ialah faktor sejagat yang menitik berat pandangan dan visi sedunia, perkembangan pendidikan antarabangsa dan keupayaan warganegara memberi sumbangan ke arah yang dapat membawa persefahaman antarabangsa. Pengenalan idea-idea pendidikan tika seminar pendidikan antarabangsa turut mempengaruhi falsafah pendidikan di negara ini. Misalnya, program pendemokrasian pendidikan, pensarwajagatan pendidikan dan pendidikan seumur hidup dirancangkan oleh UNESCO yang dirancang pada tahun 1980 telah dimanifestasikan dalam pernyataan FPK sebagai “Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan...”
            Keenam-enam faktor pembentukan FPK ini menjadi disiplin ke arah pembentukan peraturan yang menjadi prinsip yang seharusnya diamalkan para pendidik dan sebagainya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan